ASEAN-JAPAN FESTIVAL 2023















ASEAN – JAPAN FESTIVAL 2023
Telah berlangsung program ASEAN – Japan Festival 2023 pada 14 – 17 September 2023, bertempat di Homestay Malaysia dan Malaysia Tourism Centre (MaTiC). Festival ini diadakan bersempena ulang tahun ‘50th Year of ASEAN – Japan Friendship and Cooperation’.
Dengan tema ‘Colors of ASEAN’, pelancaran festival ini telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Datuk Mohd Zamri bin Mat Zain, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) yang mewakili Ketua Setiausaha, MOTAC. Pelancaran festival ini diadakan di Mini Auditorium, MaTiC pada 16 September 2023 yang lalu.
Menurut Presiden PAMAJA merangkap Pengerusi Pertubuhan Pengusaha Homestay Malaysia, Dato’ Hj. Sahariman Hamdan, objektif utama festival ini dilaksanakan adalah untuk mempromosikan sektor pelancongan dengan menggalakkan orang ramai untuk melancong dan menyertai festival ini yang menyemai aktiviti silang budaya, perkongsian pengalaman, dan seni antara negara-negara ASEAN dan Jepun.
Bagi memperkasakan pelancongan homestay, pelantikan ASEAN Homestay Ambassador juga diperkenalkan. Pelbagai aktiviti menarik dijalankan sepanjang festival ini berlangsung. Antaranya ialah ikebana, Japanese calligraphy, demonstrasi masakan / kulinari ASEAN, persembahan kebudayaan, permainan tradisional, senaman dan sebagainya.
Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam penganjuran festival ini, terutamanya kepada MOTAC, MaTiC, Tourism Malaysia, Embassy of Japan, Japan International Cooperation Agency (JICA), ASEAN Japan Friendship Association for the 21st Century (AJAFA-21) dan sokongan padu daripada PAMAJA serta Homestay Malaysia. Festival ini adalah anjuran bersama PAMAJA dan Pertubuhan Pengusaha Homestay Malaysia.
Turut serta dalam festival ini adalah wakil Kedutaan Jepun dan JICA, delegasi-delegasi dari negara-negara ASEAN, ketua-ketua jabatan, ahli-ahli persatuan, pelajar-pelajar institusi pendidikan tinggi, orang awam dan pelancong.
“Golden Friendship, Golden Opportunities”

